Thursday, December 21, 2006

Sukan kita kemana?


Selepas minggu lepas berlabuhnya tirai Sukan Asia Doha, Malaysia hanya mampu membawa pulang 8 emas, 17 perak dan 17 gangsa dan dikatakan sebagai prestasi yang terbaik sepanjang penyertaan negara kita di Sukan Asia. Tetapi bagi saya kita tidak mampu untuk berbangga dengan pencapaian skuad negara kita kerana kita menghantar satu pasukan atlit yang agak ramai dalam pelbagai acara. Kalau hanya 42 pingat sahaja yang boleh dibawa maka saya ingin mengesyorkan agar Kementerian Belia dan Sukan tidak menghantar lagi atlit yang tidak mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Ini kerana untuk mempersiapkan atlit ini negara telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak. Bermula dari latihan, membayar jurulatih profesional, perbelanjaan penginapan, makanan, pakaian dan lain-lain lagi. Saya percaya wang yang diperuntukkan oleh kerajaan terhadap pembangunan sukan telah habis berbilion ringgit sejak 15 tahun lepas. Namun hasilnya amat mendukacitakan. Bermula dengan pembinaan Kompleks Sukan Bukit Jalil, Stadium Negeri-Negeri, kompleks sukan daerah dan sebagainya, semuanya ini bagi melengkapkan kemudahan sukan agar negara dapat melahirkan atlit yang berjaya diperingkat antarabangsa.

Berbanding dengan atlit dari negara China, mereka akan mengungguli dalam kutipan pingat baik di sukan Asia mahupun di Sukan Olimpik. Kalau dilihat dari segi kemudahan kelengkapan sukan, saya percaya negara kita lebih bagus infranya berbanding China. tetapi kenapa atlit mereka mampu menggondol pingat emas dengan banyak. para gimnastik China hanya berlatih di tempat yang layak dipanggil bangsal sahaja namun gimnastik mereka adalah yang terhandal didunia.

Cuba kita lihat sukan bolasepak. skuad kita tidak mampu untuk melepasi zon Asia Tenggara pun, sama ada dalam piala Tiger, Sukan SEA, pusingan kelayakan piala dunia atau pun mana-mana perlawanan persahabatan. Malah Pesta Bola Piala Merdeka pun kita hanya mampu menjadi tuan rumah sahaja tetapi yang akan menjuarainya pastinya pasukan jemputan dari negara lain. Pasukan Bolasepak dari Negara yang sedang kacau bilau akibat peperangan seperti Iraq pun masih boleh memenangi pingat perak.

Pada bulan Ogos yang lalu Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina ada mencadangkan agar dibina satu lagi kompleks Sukan di Brickendonbury London bagi melatih atlit-atlit negara kita. kos perbelanjaan bagi membina kompleks sukan ini dianggarkan sebanyak RM490 juta. Tidakkah Azalina tahu bahawa masalah utama pencapaian sukan negara ini bukan kerana kemudahannya yang tidak lengkap tetapi kerana sikap atlit itu sendiri. Walaupun kita boleh membina kompleks sukan di Bulan sekali pun, belum tentu atlit kita dapat meraih pingat emas dalam temasya sukan antarabangsa. Bukankah lebih baik kalau kerajaan menyalurkan peruntukan wang untuk pembangunan sukan ini kepada Rakyat yang miskin dari membazirkan wang ini kepada bidang sukan yang tidak mampu menjanjikan kejayaan. Apakah salah kalau kita hanya menghantar beberapa atlit yang untuk sukan tertentu tetapi mampu meraih emas walau pun hanya sekitar 20 atlit?

Dan yang paling penting bagi saya faktor utama disebalik kegagalan sukan negara kita adalah kerana Sukan itu sendiri diuruskan oleh orang politik yang tidak tahu menahupun pasal sukan. Boleh dikatakan 90% badan atau persatuan sukan dinegara kita diterajui oleh orang politik. Mengapa tidak diserahkan sahaja urusan sukan ini kepada orang yang memang terlibat secara langsung dengan sukan, jadi mereka boleh merancang strategi untuk memajukan sukan tersebut. lihat sahaja kepada FAM, BAM, MOM dan lain-lain lagi.

Sukan Malaysia Tak Boleh!

0 comments: