Sunday, February 18, 2007

Isu Pendidikan dianak tirikan



Baru-baru ini Kementerian Pelajaran melalui Timbalan Menterinya telah mengumumkan pembatalan "Pemberian Buku Teks PERCUMA" kepada semua pelajar sekolah Rendah dan Menengah di seluruh Negara. Idea ini telah diumumkan pada awal Tahun 2006, namun kini ditarik balik dengan alasan kerajaan terpaksa membelnjakan RM100 juta bagi menampung kos ini. Persolannya mengapakan isu pendidikan sering dianak tirikan oleh kerajaan dalam membangunkan negara?. Tidakkah pemimpin kita melihat bahawa pendidikan ini merupakan pelaburan yang menguntungkan di dalam jangka masa panjang bagi pembangunan sesebuah negara?. Di negara barat mereka mengutamakan peruntukan dibidang pendidikan melebihi dari pembangunan yang lain. Kerana bila rakyat semakin pandai, mereka akan membangunkan negara dengan ilmu yang mereka perolehi. Adakah sukar bagi kerajaan mengeluarkan peruntukan sebanyak RM100 juta yang boleh memberi manfaat kepada setiap Rakyat Malaysia yang mempunyai anak untuk bersekolah? Dengan syarat yang ada sekarang ini, ibu-bapa yang mempunyai pendapatan kurang dari RM2000 sebulan sahaja layak untuk menerima Skim Bantuan Buku Teks ini. Cuba pemimpin kita bayangkan berapakah sangat nilai RM2000 sebulan untuk sesebuah keluarga yang tinggal di Kota Metropolitan ini. Dengan kos ansuran/sewa rumah, bayaran hutang kereta, belanja dapur, kos petrol, parking, belanja anak-anak kesekolah dan upah penjaga anak nilai RM2000 ini terlalu kecil. Bagi saya warga Kota yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3000 dengan 2 orang anak masih dikategorikan sebagai "MISKIN" dan seharusnya layak menerima bantuan dari BaitulMal atau Pusat Zakat. Ini kadangkala menyebabkan ada yang terpaksa meminjam dengan "Along". Bagi semua Rakyat yang merasa kecewa dengan keputusan Kerajaan ini, fikir-fikirkanlah. Gunakan hak anda sebagai pengundi bila berpeluang di Pilihanraya Umum Ke-12 nanti untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang bekerja untuk Rakyat demi kepentingan Rakyat.


Buku Teks Percuma? TAK BOLEH

Tuesday, January 30, 2007

TERHAKISNYA DEMOKRASI DI MALAYSIA

Sudah lama tidak menulis dalam blog ni kerana kesibukan masa. Dalam tempoh sebulan ini bermacam cerita berlaku di negara yang tercinta ini. Bermula dengan “Sambutan Tahun Baru” dimeriahkan dengan “Sambutan Toll Baru”, kemudian diikuti pula dengan cerita bah yang melanda selatan tanah air yang jarang atau tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga menyebabkan rakyat kerugian ratusan juta ringgit (mengikut kajian sains berpunca dari kenaikan kadar air laut yang mendadak tetapi mengikut kajian agama mungkinkah ini satu bala? Yang diturunkan atas kerosakan yang dilakukan oleh manusia itu sendiri) dan diikuti dengan Pilihanraya DUN Batu Talam dimana pihak pembangkang buat pertama kalinya dalam sejarah diera baru ini telah memboikot pilihanraya tersebut akibat ketidaktelusan SPR dalam menguruskan pilihanraya. Dan kini kita dikejutkan dengan tindakan NST menyaman 2 orang blogger atas tuduhan memfitnah.

Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut tentang tindakan saman NST itu kerana ianya banyak telah diperkatakan dalam blog-blog yang lain dan syabas diucapkan kepada beberapa orang blogger yang telah bersatu hati menubuhkan tabung dana bagi membela nasib kedua orang blogger yang disaman itu. Tindakan saman keatas pemblog ini lebih dilihat sebagai cubaan untuk membunuh atau menutup ruang-ruang kebebasan bersuara didalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi “kononnya”.

Tindakan parti pembangkang (PAS dan Keadilan) memboikot pilihanraya DUN Batu Talam dilihat sebagai satu tindakan yang drastik bagi memastikan satu situasi yang bersih dijalankan dalam sesuatu pilihanraya. Ini kerana mengikut dakwan mereka terdapat banyak kelemahan yang dibuat oleh pihak SPR (yang lebih memenangkan pihak parti BN) dalam menjalankan pilihanraya. Dengan wujudnya pengundi hantu, system undi Pos yang tidak telus kerana tiada wakil parti yang bertanding untuk memerhatikan proses pengundian itu dijalankan. Saya sendiri pernah melihat dakwaan pengundi hantu ini memang wujud. Sewaktu pilihanraya tahun 1999, saya telah menyemak nombor KP emak saya didalam senarai pemilih yang dikeluarkan oleh SPR sehari sebelum pembuangan undi ditempat saya. Namun no KP itu tertera nama orang lain bukan nama emak saya, sedangkan emak saya telah mengundi beberapa kali sebelum itu. Kini emak saya telah meninggal dunia dan saya akan cuba menyemak no KP beliau sekali lagi dan saya pasti nama beliau tidak dipadamkan dari senarai pemilih untuk pilihanraya yang akan datang. Begitulah pincangnya demokrasi di Malaysia ini. Maka tidak hairanlah kalau tahun 2006 satu badan NGO dunia telah meletakkan negara kita dalam ranking yang terbawah dalam mengamalkan demokrasi. Sesungguhnya system demokrasi sudah semakin terhakis dek kerana pemerintah cuba mengekalkan kuasa mereka. Demokrasi Malaysia semakin nazak cuma tunggu masa sahaja untuk diTALQINkan.

Demokrasi!, Boleh ke Tak Boleh?

Friday, December 22, 2006

Pendidikan Seks di Sekolah?


Alangkah terkejutnya bila membaca Akhbar Berita Harian pada hari ini yang memaparkan kabinet Malaysia telah meluluskan pelaksanaan pendidikan seks di sekolah mulai tahun 2007. Cadangan yang diutarakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sejak Julai 2002 akhirnya akan terlaksana. Sekali lagi hati saya merasa sakit kerana memikirkan bagaimanakah idea "kurang cerdik" (bodoh) ini boleh terpacul dari seorang Menteri Wanita yang sepatutnya memikirkan bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah sosial generasi muda kita, bukannya menambahkan lagi masalah.

"Idea ini ditimbulkan oleh beliau berikutan peningkatan gejala salah laku seksual, sumbang mahram, hubungan seks luar nikah, rogol, penderaan seksual, pengguguran dan pembuangan bayi serta penularan penyakit Aids.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar mengenai peningkatan remaja Melayu melahirkan anak luar nikah berbanding lima tahun lalu.Laporan itu menyebut 57 peratus daripada mereka membabitkan usia 18 hingga 23 tahun selain ada remaja berusia seawal 14 tahun menggugurkan kandungan dan bertindak membuang anak di tandas dan tong sampah.Kajian Jabatan Kebajikan Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 2004 mendapati 81 peratus daripada remaja terbabit mempunyai latar belakang pendidikan rendah dan bekerja di kilang.

Pelaksanaan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial itu akan membabitkan lima kategori umur iaitu murid prasekolah (4 hingga 6 tahun), kanak-kanak (7 hingga 9 tahun), awal remaja (10 hingga 12 tahun), remaja (13 hingga 18 tahun) dan dewasa (19 tahun ke atas) yang membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi, ibu bapa dan warga emas."

Saya ingin bertanya kepada Menteri berkenaan dan juga semua YB yang meluluskan cadangan ini, bagaimanakah mereka boleh berkahwin sehingga beranak pinak sedangkan mereka tidak pernah diajar Pendidikan seks oleh ibu bapa mereka, apatah lagi disekolah?, Adakah ada antara mereka yang tak tahu bagaimana hendak melakukan hubungan seks? atau mungkin ada antara ibu bapa mereka yang turut sama masuk kedalam kelambu mereka sewaktu melayari malam pertama untuk mengajar bagaimanakah persetubuhan itu berlaku?. Sudah pasti jawapannya tidak bukan, kerana bagi saya pendidikan seks ini adalah satu ilmu kemanusiaan (biologi), satu ilmu yang akan diperolehi oleh setiap manusia dalam tempoh peralihan dari zaman kanak-kanak kepada remaja dan seterusnya dewasa. Ianya tidak perlu diajar secara formal disekolah. Bagi orang Islam mereka akan mempelajarinya bila mencapai "Akil Baligh" (satu tempoh peralihan kepada zaman remaja). Bagi lelaki mereka akan didatangi "mimpi" (secara tidak formal mereka akan belajar pendidikan seks melalui mimpi ini yang diberikan oleh Allah), dan bagi perempuan mereka akan datang "bulan".

Islam ada mengajar tentang pendidikan seks ini secara yang lebih bersopan iaitu dalam Fardhu Ain. Sejak kanak-kanak lagi kita diajar tentang haid, nifas, mandi wajib, berhadas, menutup aurat, betapa besarnya dosa penzina dan hukuman sebat atau rejam, menghadkan pergaulan antara lelaki dan wanita agar kanak-kanak ini tahu apakah yang perlu dijaga oleh mereka dalam pergaulan. Dengan cara ini dapat membendung masalah seks sebelum nikah.

Apakah Menteri berkenaan boleh memberi jaminan selepas para pelajar didedahkan dengan pendidikan seks ini, masalah sosial remaja akan menurun? atau ianya akan terus meningkat berlipat kali ganda. Adakah cara untuk membendung masalah penyakit AIDS dari tersebar melalui hubungan seks bebas dapat diatasi dengan memberikan kondom secara percuma kepada remaja dengan slogan "Seks selamat" (boleh buat seks tapi mesti pakai kondom atau ambil pil pencegah kehamilan). Adakah cara untuk mengelakkan masalah pembuangan bayi dengan menyediakan rumah kebajikan bagi bayi yang dibuang?. Bukankah lebih baik mereka mencegah di peringkat awal daripada mengubati.

Cuba lihat keratan akhbar ini http://members.tripod.com/bicara_seks/buang_bayi.htm. Di negara barat seperti UK dan Amerika yang telah mengajar pendidikan seks di sekolah, mereka dapati setelah pendidikan seks ini diajar kes-kes masalah sosial telah meningkat bukannya menurun. Adakah sebarang kajian dibuat terlebih dahulu sebelum idea ini diterima oleh kabinet.

Menurut kajian Stodghill (1998), Alan Guttmacher Institute (2001) dan Voss & Kogan (2001) di Amerika Syarikat, telah menunjukkan bahawa remaja lelaki melakukan hubungan seks ketika berusia 16 tahun dan remaja wanita 17 tahun. Perangkaan ini, menurut pengkaji itu, hampir sama dengan negara maju lain yang menyebabkan peningkatan kewujudan ‘ibu tunggal’ (takrif Barat – remaja hamil sebelum kahwin) saban tahun. Mereka biasanya tidak menggunakan kaedah pencegah kehamilan. Ekoran itu, pendidikan seks diperkenalkan di beberapa buah sekolah tinggi. Tapi, ada kritikan juga mengenainya. Iaitu, walaupun pendidikan seks semakin dikembangkan, aktiviti seksual remaja Barat tetap meningkat. Akhirnya, segolongan pakar berpendapat bahawa pendidikan seks cuma bertujuan memastikan agar remaja mengetahui dan memahami asas-asas untuk memelihara diri dari hamil dan mengelak dari jangkitan kelamin seperti Aids, siplis dan sebagainya dan bukan mengelakkan mereka dari melakukan seks bebas.

Menurut Kajian Hubungan Seks Sejagat-Aspek Golongan Muda pada tahun 1999, remaja Malaysia secara purata melakukan seks 72 kali setahun. Kajian itu membabitkan 4,800 remaja dalam lingkungan 16 – 21 tahun bagi mengenal pasti tabiat seks mereka. Di Malaysia, menurut kajian itu juga, kira-kira 49 peratus remaja tidak mengguna kondom sebagai alat pencegahan ketika kali pertama mengadakan hubungan seks. Tetapi, kajian itu tidak menjelaskan kenapa mereka tidak menggunakannya. Walhal, alat pencegah kehamilan terjual di kaunter secara terbuka di kedai-kedai yang beroperasi 24 jam seperti 7–Eleven dan lain-lain. Dalam era teknologi maklumat & ilmu yang berkembang, adalah mustahil ramai remaja yang tidak tahu bahawa alat pencegahan itu amat sesuai menyelamatkan mereka daripada HIV dan kehamilan tanpa dirancang.

Dalam konteks negara kita, mungkin apa yang lebih diperlukan ialah ‘klinik seks’ di mana guru kaunseling diberi latihan, kursus dan bimbingan khusus bagi menyelesaikan permasalahan seksual membabitkan pelajar bermasalah yang terpencil saja dan bukannya pendidikan seks secara terbuka dan umum pula.
Katakan TIDAK BOLEH! kepada Pendidikan Seks

Thursday, December 21, 2006

Sukan kita kemana?


Selepas minggu lepas berlabuhnya tirai Sukan Asia Doha, Malaysia hanya mampu membawa pulang 8 emas, 17 perak dan 17 gangsa dan dikatakan sebagai prestasi yang terbaik sepanjang penyertaan negara kita di Sukan Asia. Tetapi bagi saya kita tidak mampu untuk berbangga dengan pencapaian skuad negara kita kerana kita menghantar satu pasukan atlit yang agak ramai dalam pelbagai acara. Kalau hanya 42 pingat sahaja yang boleh dibawa maka saya ingin mengesyorkan agar Kementerian Belia dan Sukan tidak menghantar lagi atlit yang tidak mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Ini kerana untuk mempersiapkan atlit ini negara telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak. Bermula dari latihan, membayar jurulatih profesional, perbelanjaan penginapan, makanan, pakaian dan lain-lain lagi. Saya percaya wang yang diperuntukkan oleh kerajaan terhadap pembangunan sukan telah habis berbilion ringgit sejak 15 tahun lepas. Namun hasilnya amat mendukacitakan. Bermula dengan pembinaan Kompleks Sukan Bukit Jalil, Stadium Negeri-Negeri, kompleks sukan daerah dan sebagainya, semuanya ini bagi melengkapkan kemudahan sukan agar negara dapat melahirkan atlit yang berjaya diperingkat antarabangsa.

Berbanding dengan atlit dari negara China, mereka akan mengungguli dalam kutipan pingat baik di sukan Asia mahupun di Sukan Olimpik. Kalau dilihat dari segi kemudahan kelengkapan sukan, saya percaya negara kita lebih bagus infranya berbanding China. tetapi kenapa atlit mereka mampu menggondol pingat emas dengan banyak. para gimnastik China hanya berlatih di tempat yang layak dipanggil bangsal sahaja namun gimnastik mereka adalah yang terhandal didunia.

Cuba kita lihat sukan bolasepak. skuad kita tidak mampu untuk melepasi zon Asia Tenggara pun, sama ada dalam piala Tiger, Sukan SEA, pusingan kelayakan piala dunia atau pun mana-mana perlawanan persahabatan. Malah Pesta Bola Piala Merdeka pun kita hanya mampu menjadi tuan rumah sahaja tetapi yang akan menjuarainya pastinya pasukan jemputan dari negara lain. Pasukan Bolasepak dari Negara yang sedang kacau bilau akibat peperangan seperti Iraq pun masih boleh memenangi pingat perak.

Pada bulan Ogos yang lalu Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina ada mencadangkan agar dibina satu lagi kompleks Sukan di Brickendonbury London bagi melatih atlit-atlit negara kita. kos perbelanjaan bagi membina kompleks sukan ini dianggarkan sebanyak RM490 juta. Tidakkah Azalina tahu bahawa masalah utama pencapaian sukan negara ini bukan kerana kemudahannya yang tidak lengkap tetapi kerana sikap atlit itu sendiri. Walaupun kita boleh membina kompleks sukan di Bulan sekali pun, belum tentu atlit kita dapat meraih pingat emas dalam temasya sukan antarabangsa. Bukankah lebih baik kalau kerajaan menyalurkan peruntukan wang untuk pembangunan sukan ini kepada Rakyat yang miskin dari membazirkan wang ini kepada bidang sukan yang tidak mampu menjanjikan kejayaan. Apakah salah kalau kita hanya menghantar beberapa atlit yang untuk sukan tertentu tetapi mampu meraih emas walau pun hanya sekitar 20 atlit?

Dan yang paling penting bagi saya faktor utama disebalik kegagalan sukan negara kita adalah kerana Sukan itu sendiri diuruskan oleh orang politik yang tidak tahu menahupun pasal sukan. Boleh dikatakan 90% badan atau persatuan sukan dinegara kita diterajui oleh orang politik. Mengapa tidak diserahkan sahaja urusan sukan ini kepada orang yang memang terlibat secara langsung dengan sukan, jadi mereka boleh merancang strategi untuk memajukan sukan tersebut. lihat sahaja kepada FAM, BAM, MOM dan lain-lain lagi.

Sukan Malaysia Tak Boleh!

Monday, December 18, 2006

MELAYU


Melayu itu maknanya bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipupun bersopan.
Berani jika bersalah
Takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah Mua’alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu).

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan.

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya.

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasha
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual.
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum,
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh di cari ke lubang cacing,
Tak dapat tanduk telinga dijinjing,
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan.

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silatulrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut,
Tangan diulur segera bersambut
Luka pun tidak lagi berparut.

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Anak dipangkuan mati kebuluran.”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu,
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalag kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka.

Puisi dicipta oleh : Datuk Usman Awang

Saya pernah mendeklamasikan puisi ini sewaktu saya masih dibangku sekolah. Saya amat meminati puisi ini kerana ianya mempunyai makna yg cukup mendalam. Cubalah anda hayati setiap baris ayat yg tersurat dan fahami makna yg tersirat.

Puisi Melayu Boleh!

Sunday, December 17, 2006

Rumah Impianku di Rawang

Dulu masa Mohd Taib (Mike Tyson) jadi MB Selangor pelbagai pembangunan dirancang untuk memajukan kawasan beliau termasuklah Rawang. Maka di buat Proton City di Tanjong Malim (border Selangor-Perak). Serentak dengan itu Rawang yang dulunya hanyalah kawasan hulu telah mula membangun akibat tempias ini. Maka banyak projek perumahan yg dibina sehingga terdirinya Bandar Country Homes Rawang, Bandar Puteri, dll. Harga hartanah terutama rumah teres, semi-D dan Banglo didirikan dengan harga yang murah (jika dibandingkan dengan KL). Maka sekonyong-konyong (ramailah) orang datang membeli rumah di Rawang walaupun kerja di KL dengan alasan rumah murah boleh berulang alik ikut highway bayar toll masih lagi murah jika dibandingkan dengan beli hartanah disekitar KL. Masa tu sekitar tahun 2000. tapi sekarang sudah menghampiri tahun 2007, adakah kenyataan ini masih relevan. duduk di Rawang pergi kerja kat KL harga minyak RM1.92/liter dan harga toll berlipat kali ganda. adakah pelaburan itu menguntungkan atau sebaliknya?.Sudahlah mereka kerugian masa kerana keluar rumah seawal pukul 6 pagi dan sampai rumah seawal jam 9 malam. Kalau dibuat perkiraan, ansuran rumah disekitar KL RM800/sebulan dan di Rawang RM500/sebulan kalau perjanjian 20 tahun pun harga kos ansuran rumah di Kl masih lagi RM800/sebulan. tapi kos ansuran rumah di Rawang RM500/sebulan dicampur kos petrol dicampur kos toll rasanya lebih dari RM900. So kesimpulannya kalau nak buat pelaburan tu kenalah bijak, fikirkan kebarangkalian yg akan berlaku dimasa hadapan.

Rawang Boleh!

Ayoyo Samy Toll


Setelah sebulan tak tulis apa-apa dlm blog ni, hari ni nak tulis sikit pasal isu terbaru yg melanda Rakyat M'sia khususnya yg tinggal di Lembah Kelang. Isu yg boleh menyebabkan nafas jadi semput dan isu yg tak pernah ada penghujungnya. Kelmarin Samy Vello buat pengumuman kadar baru toll di lebuhraya disekitar Lembah Kelang dinaikkan antara 30 sen sehingga RM1. Apa nak jadi dengan M'sia ni, bila nak naik harga aje govt mula buat statement yg sama "ingin mengurangkan beban subsidi kera jaan" ataupun "Jika dibandingkan dengan negara lain, kadar/harga di negara kita masih terendah". Dah naik muak dengan statement ni. Apasal masa buat perjanjian dengan syarikat konsesi tu ada "klause" yg bodoh ni. semua orang pun nak berniaga lebuhraya kalau macam ni. rugi sikit govt kena bayar subsidi, kalau tak naikkan harga biar rakyat yg bayar. Pak Mentri dan YB bolehlah gaji besar, kereta besar, rumah besar dll semuanya besar. Naik kereta semuanya rakyat yg bayar (duit cukai tu), minyak rakyat bayar, toll rakyat bayar, bagi makan anak binipun rakyat yg bayar. tapi senang-senang aje nak naikkan harga tanpa mengambil kira kepentingan rakyat marhain ni. inilah hadiah yg harus dibayar oleh rakyat M'sia yg menyokong kera jaan yg ada ni.


Syabas M'sia Boleh!